1171290-Muhammad Taqiyuddin Bin Muhamad Sabri.

Fantashiru Di Bumi Sakura

“Rebutlah setiap peluang yang ada di hadapanmu, kerana belum tentu ia datang lagi”. -JAKSA KK1, 18/19-

Pengalaman sepanjang perjalanan  di sana membuka mata kami, mengenai kehidupan sebuah masyarakat yang unik. Tidak hairanlah apabila bekas Perdana Menteri Ke-4 telah mengangkat dasar pandang ke Timur suatu ketika dahulu dalam pembangunan negara Malaysia.

Sifat Masyarakat Jepun

Kami telah berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (2) ke Kansai Airport pada jam 3 pm dan sampai di sana jam 11 pm. Apabila tiba di sana kami telah menaiki subway untuk menuju ke kediaman kami yang terletak di tengah bumi Osaka. Sewaktu dalam perjalanan, saya melihat kerusi kosong yang ada betul-betul di sebelah tempat duduk Orang Jepun. Apalagi, saya dengan membuang perasaan malu telah duduk di sebelahnya (Dia tu orang lelaki lah).

Menyentuh sedikit mengenai ilmu lingistik saya berbahasa Jepun, saya merupakan pelajar yang mengambil subjek Jepun yang pernah berguru bersama Dr Zoraida sensei, Margarate Sensei, Uni Kazuhito Sensei dan Anuar Sensei yang juga merupakan Pensyarah di Universiti SaIns Islam Malaysia. Berbekalkan ilmu yang telah saya pelajari, sejujurnya saya bukanlah pelajar terbaik kepada mereka, kerana saya kadang-kadang tidak mampu menunaikan arahan mereka sepenuhnya. Namun pendidikan yang diajar kepada saya banyak membantu sewaktu perjalanan saya ke sana.

Apabila saya duduk di sebelah rakyat Jepun tersebut, saya telah memulakan perbualan dengannya. Watashiwa Mareshia Jin Desu, bermaksud Saya berasal dari Malaysia. Itulah salah satu skrip ringkas yang saya gunakan apabila berbual bersama mereka. Keunikan masyarakat di sini adalah mereka ini sememangnya jenis pendiam atau lebih dikenali “introvert”. Mereka tidak suka mengganggu orang lain walaupun orang itu dilihat sekadar termenung kerana mereka amat menghormati masyarakat. Berbeza dengan rakyat Malaysia yang digelar extrovert yang digelar peramah, kerana kita menganggap menyambut serta berbicara bersama masyarakat merupakan cara untuk meraikan orang lain.

Pada kemudian hari, bermulalah sesi pengembaraan kami yang akan bergerak mengelilingi Osaka. Berteraskan Global Islamic Student Outreach (GISO) yang mensasarkan kami memenuhi beberapa kriteria pemarkahan, kami telah melaksanakan aktiviti termasuk Culture Exchange yang bertujuan memperkenalkan budaya masyarakat Melayu kepada masyarakat Jepun. Kami tidak menggunakan pemandu pelancong (Tour Guide) sepanjang perjalanan ini. 100 peratus pergerakan kami aturkan dengan membahagikan tugas ketua perjalanan (pic – person incharge) sesama kami. Sebelum hari kejadian, PIC dinasihatkan untuk mengkaji kedudukan destinasi dan akan memberikan arahan kepada kumpulan kami.

Sekiranya berada di sana anda juga dinasihatkan untuk tidak melepaskan peluang untuk pergi ke Tombori River Cruise dan Dotonbori. Tombori dipisahkan dengan sebuah tasik di tengahnya dan bandar di sekeliling tasik tersebut. Jika anda peminat Gundam, di sini pastinya anda akan melihat sebuah bangunan besar yang menjadi mercu tanda anime di sini. Menaiki bot akan membawa anda merentasi 9 buah jambatan selama 20 minit banyak menceritakan kepada anda mengenai kisah lampau bagaimana terbentuknya landskap Kawasan ini. Manakala di Dotonbori anda akan melihat banyak lampu neon dipasang di setiap bangunan dan berhati-hatilah kerana di sini terlalu ramai orang terutama pada waktu malam.

Terdapat pelbagai seni artifak yang ada di dalam Osaka Castle. Di sana kami dapat menyaksikan pedang Samurai, bangunan-bangunan lama, strategi perang Jepun dan juga ada beberapa ukiran yang menceritakan mengenai pemerintahan Era Shogun, Era Heian dan Empayar Edo. Kesemuanya mendatangkan kesan pada diri kami, akan kepentingan kita menghargai sejarah bagaimana nenek moyang kita telah berusaha sedaya-upaya berjuang memastikan anak cucunya pada hari ini berada dalam keadaan aman dan damai.

Menziarahi Kyoto

Bagi mereka yang amat berminat dalam bidang fotografi anda juga disarankan untuk menziarahi Kyoto. Beberapa tempat yang kami ziarahi adalah Arisyama Bamboo Forest dan Arashiyama Kimono Forest.

Di sini aktiviti yang kami laksanakan adalah memperkenalkan Negara Malaysia kepada mereka. Mereka sangat tertarik mendengar perkongsian kami. Namun menjadi kebiasaannya, penguasaan berbahasa Inggeris bagi masyarakat di sini amat lemah, jadi kami menggunakan kreativiti kami dengan menunjukkan bahasa badan (Body Language).

Ternyata mereka amat responsif kerana seringkali memberi tindak balas kepada penceritaan kami.

Pelajaran dan Pengajaran Sepanjang Perjalanan Di Jepun

Kami melaksanakan program di bebarapa buah tempat di Kawasan Osaka, Kyoto dan Kobe. Setiap tempat mempunyai keunikan masing-masing. Mereka begitu terbuka untuk menerima dakwah orang Islam kerana sifat yang ada pada Agama Islam sebenarnya dapat mereka rasai dengan budaya dan amalan harian mereka. Mereka merupakan bangsa yang unik dengan minat mereka dengan bahan bacaan, sehinggakan apabila berada di atas keretapi dan mana-mana tempat duduk mereka akan membaca buku. Masyarakat Jepun terkenal dengan ketepatan masa, apabila mereka berjanji mereka akan berusaha sedapa upaya untuk menunaikannya. Kebersihan pada prinsip mereka merupakan tanggungjawab setiap individu dan apabila mereka melihat sampah mereka akan mengutipnya. Mereka juga sangat suka membantu orang, kerana sewaktu perjalanan kami di sana, kawan baik saya tercicir barang dan masyarakat di situ berlari mengejar dan memberikan barangan tersebut kepadanya. 

 

Kesimpulannya, penceritaan saya ini bukanlah sekadar ingin mengagungkan masyarakat di sana, tetapi lebih memfokuskan agar selaku rakyat Malaysia yang punya keunggulan tersendiri, amat wajar bagi kita merantau ke tempat orang bertujuan untuk kita mengutip permata manfaat yang sekian lama hilang dari bangsa kita. Pengalaman yang kita perolehi tersebut kemudiannya haruslah disemai dalam diri masyarakat bagi menyatukan kita dan memajukan negara Malaysia tercinta.